PUTRAJAYA, 8 Februari - Kerja-kerja pengerukan di alur pelayaran dan lembangan Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis telah dimulakan susulan kejadian feri tidak boleh belayar dan merapat ke jeti.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata pihaknya melalui Jabatan Laut Malaysia (JLM) mengambil langkah serta-merta melantik kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja pengorekan melalui Perolehan Darurat untuk tujuan pengerukan di lembangan jeti.
"Kerja-kerja pengerukan mula beroperasi pada 6 Februari dan akan berakhir pada 20 Februari ini," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Baru-baru ini tular di media sosial feri Langkawi-Kuala Perlis tidak dapat belayar mengikut jadual pada 2 Februari lepas.
Ia ekoran air alur pelayaran Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis surut di bawah paras 1.6 meter.
Ka Siong berkata, JLM telah melaksanakan kerja-kerja pergerukan alur pelayaran dengan panjang alur yang dikeruk adalah sejauh 5.6 kilometer pada kedalaman 2.0 meter Chart Datum (CD) di Jeti Kuala Perlis sejak Ogos 2018 hingga Mac 2019.
Kerja-kerja pengerukan itu membabitkan kos berjumlah RM13.8 juta khusus bagi mengatasi masalah mendapan yang sering berlaku di terminal berkenaan.
Menurut beliau, secara dasarnya projek pengerukan itu dapat merancakkan pelbagai sektor ekonomi serta meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk setempat, di samping memastikan rantaian logistik ke Pulau Langkawi tidak terputus.