CAMERON HIGHLANDS, 6 Januari - Tempoh perolehan bagi memperbaiki cerun di penempatan di Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata di sini yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh, 12 Oktober tahun lalu akan dipendekkan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia mempercepatkan tempoh pembaikan cerun tersebut yang dijangka mengambil masa dua tahun yang membabitkan peruntukan RM3 juta.
"Oleh kerana tempoh untuk reka bentuk dan juga tempoh perolehan serta penyiapan itu terlalu panjang, kami akan melakukan tindakan bagi memperolehi kelulusan khas untuk memendekkan tempoh perolehan dengan kaedah-kaedah yang diluluskan Kementerian Kewangan,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak bencana tanah runtuh berkenaan.
Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Ruil, yang menempatkan 88 mangsa daripada 17 keluarga yang terjejas akibat tanah runtuh itu.
Dalam kejadian 10.56 pagi 12 Oktober tahun lalu, cerun di penempatan Orang Asli Sungai Ruil terjejas akibat runtuh, menyebabkan enam buah rumah dan beberapa kenderaan penduduk terjejas.
Susulan kejadian itu, 17 keluarga diarah mengosongkan rumah masing-masing dan ditempatkan di PPS Dewan KOA Sungai Ruil.
Sementara itu Ahmad Zahid berkata beliau diberi jaminan oleh Jabatan Kerja Raya, bahawa struktur kediaman penduduk adalah stabil dan kukuh, justeru penduduk tidak perlu bimbang jika mereka perlu pulang ke rumah masing-masing apabila tiba masanya nanti.
Dalam pada itu beliau berkata Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan menanggung sepenuhnya pembayaran sewa kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menempatkan 17 keluarga terjejas itu, mulai Februari depan.
TNB katanya sebelum ini bersetuju menawarkan sewa RM500 seunit dan mengecualikan bayaran deposit sewaan selama tiga bulan dan penduduk akan tinggal sementara di kuarters itu selama dua tahun.