KUALA LUMPUR, 6 Januari - Program Jualan Termurah, Khidmat Demi Rakyat, yang menawarkan harga barangan basah dan kering pada harga lebih murah berbanding harga pasaran, dijangka akan diperluaskan.
Keperluan itu bagi memenuhi permintaan, sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yakin program tersebut boleh diadakan secara strategik yang menawarkan barang keperluan dan segar pada harga 30 hingga 50 peratus lebih rendah.
"Jadi apa kita adakan ini ialah untuk percubaan dan pembuktian konsep, yang saya akan panjangkan dan cadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagaimana untuk kita laksanakan di kawasan Parlimen lain terutamanya dalam mengawal kos harga barang dan membantu kurangkan kos sara hidup.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Jualan Termurah, Berkhidmat Untuk Rakyat di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sini anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lembah Pantai.
Tambah Fahmi yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, program tersebut juga berupaya menjadi nilai tambah kepada Program Jualan Rahmah (PJR), anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Ini bukan untuk bertanding dengan pasar raya, tetapi ini adalah program yang kita anggap boleh membantu secara berkala dan kita tahun mungkin di tengah bulan waktu ramai yang menunggu gaji," katanya.
Fahmi turut memaklumkan, dalam memaksimumkan kehadiran dan komuniti yang mendapat manfaat daripada program tersebut, pemilihan lokasi sangat penting.
Sementara itu, orang ramai menyambut baik inisiatif Program Jualan Termurah, Khidmat Demi Rakyat tersebut.
Mereka berharap program itu dapat diadakan secara berkala.
"Saya dapat beli juga, dengan RM80 macam-macam saya beli beza dengan harga pasar, lebih kurang setengah daripada itu. Murah dan sesuai dekat sini. Mudah-mudahan dapat diteruskan kalau boleh sebelum puasa ini," kata Zainal Rahmat.
"Murahlah, beli udang, sotong, sotong murah RM25 sekilogram, berbaloilah. Sebulan sekali eloklah buat, bolehlah kita beli," kata Jarinah Bharkath Ali.
"Kalau beli dekat pasar, mahal sikit, selalu beli di Pasar Chow Kit mahal. Sini murah sikitlahkan, kalau boleh tiap-tiap bulan buat macam ini, lagi baguslah untuk B40," kata Johari Alang Ahmad.