Kerja baiki cerun di KM 45 Jalan Gua Musang-Lojing Mac ini

Nanta ketika turun ke lokasi tanah runtuh di FT185 Seksyen 107.6, Laluan Lojing–Gua Musang bagi menilai sendiri situasi sebenar di lapangan.

GUS MUSANG, 2 Feb – Kerja pembaikian cerun di Kilometer 45, Jalan Gua Musang-Lojing dijangka bermula Mac depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerja pembaikian cerun di KM45 Jalan Gua Musang-Lojing dijangka bermula Mac depan.
  • KKR sudah keluarkan kelulusan kepada CKC JKR untuk laksanakan pembaikan secara Arahan Kerja kepada kontraktor.
  • Lencongan jalan sementara akan dibina dahulu supaya laluan dapat dibuka semula kepada pengguna.
  • Kerja penyelenggaraan LTU di Taman Wangi dilaksanakan oleh Roadcare untuk atasi kesesakan semasa cuti.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya memahami kesulitan dihadapi pengguna jalan raya dan penduduk sekitar akibat penutupan laluan berkenaan.

“Pada 30 Januari lalu pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) sudah memberikan kelulusan kepada Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC), Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi melaksanakan segera kerja pembaikan lokasi runtuhan ini secara Arahan Kerja (AK) yang akan dilaksanakan oleh pihak kontraktor”, katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C, di sini hari ini.

Beliau berkata pembinaan lencongan jalan sementara dilaksanakan terlebih dahulu agar laluan berkenaan dapat dibuka semula kepada pengguna.

Pada 3 Disember lepas, laluan terbabit terpaksa ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan akibat kejadian tanah runtuh.

Sementara itu, kerja-kerja penyelenggaraan bagi projek LTU di Taman Wangi Gua Musang, sedang dilaksanakan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang dijangka berlaku sempena
musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina ini.

Kerja-kerja itu dijalankan oleh Roadcare (M) Sdn Bhd bagi memberi keselesaan kepada pengguna.