fb fb fb fb fb

Kerja baik pulih sekolah rosak di Sijangkang dijangka siap tiga bulan

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Oktober - Kerja baik pulih empat sekolah di Sijangkang, Kuala Langat yang rosak akibat ribut minggu lalu dijangka siap dalam tempoh tiga bulan, dengan kos lebih RM10 juta.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, empat sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan, SK Jalan Tanjung dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sijangkang Jaya, melibatkan lebih 6,000 pelajar.

Menurutnya, kebanyakan kerosakan melibatkan bumbung dan kekuda bangunan, dengan kos pembaikan berjumlah RM10.1 juta yang disalurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

"Pihak JKR telah melakukan kerja-kerja awalan sebab di beberapa lokaliti seperti pembersihan.Pembersihan sahaja memerlukan RM1.9 juta dan kerja-kerja itu tidak termasuk lagi kerja pendawaian.

"Kerja-kerja pendawaian itu akan ada tambahan dan juga ada lagi tambahan nanti yang perlu dilakukan iaitu peralatan, sebab sebahagian sekolah-sekolah itu, sebahagian peralatan musnah akibat daripada kejadian itu kerana air masuk dan sebagainya", katanya.

"Insya-Allah yang SPM, pelajar-pelajar yang terlibat dengan SPM ataupun kawasan SPM telah dibenarkan untuk masuk dan diisytihar selamat. jadi yang sekolah kebangsaan ini kita jangka dalam masa hampir tiga bulan untuk dilaksanakan pendidikan dalam talian dan juga untuk buat proses baik-baik dan lain-lain.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke SMK Sijangkang Jaya dan mendengar taklimat berhubung bencana ribut di Sijangkang daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.

Katanya, seramai 400 pelajar SMK Sijangkang Jaya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2 November depan, dibenarkan kembali ke sekolah selepas bangunan diisytihar selamat.

Beliau memaklumkan kerja baik pulih di SMK Sijangkang Jaya kini mencapai 90 peratus.

Datuk Seri Amirudin turut menegaskan kerajaan negeri akan mempertimbang tambahan peruntukan, sekiranya diperlukan bagi memastikan keselamatan bangunan terjamin.

Sebelum ini, Yayasan MBI menyalurkan bantuan segera berjumlah RM400,000 bagi membaik pulih sekolah dan rumah penduduk yang terjejas akibat ribut kuat di Sijangkang dan Meru.

ROSLINA BINTI DIN