fb fb fb fb fb

Sistem e-TPS permudah pemfailan tuntutan secara digital di tribunal perumahan

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz/RTM

PUTRAJAYA 23 Oktober -Sistem e-TPS atau Electronic Tribunal Managment System dibangunkan bagi mendigitalkan proses pemfailan tuntutan selaras dengan fungsi Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS) sebagai peneraju penyelesaian pertikaian pembeli rumah dan pengurusan strata.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, sistem berimpak tinggi itu membolehkan orang ramai memfailkan tuntutan secara digital tanpa perlu hadir ke kaunter seperti sebelum ini.

Sistem tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mempercepatkan urusan rakyat melalui transformasi digital perkhidmatan awam.

“Berbeza sebelum ini apabila pelanggan perlu menghantar borang secara manual di kaunter berkaitan, kini urusan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) boleh dilakukan terus melalui portal yang disediakan. Ini jelas menunjukkan berlaku anjakan daripada segi mudahnya rakyat berurusan dengan kerajaan berbanding dahulu," katanya kepada media selepas Program Bicara Aspirasi H.E.M.A.T. KPKT 2025, di sini.

Pelancaran sistem e-TPS juga selaras dengan nilai teras H.E.M.A.T. yang menekankan prinsip Telus Tadbiran dan Apresiasi Inovasi antara lima nilai utama yang digariskan.

Nilai-nilai lain termasuk Hijrah Tatakelola, Empati Rakyat dan Minda Pekin, yang menjadi panduan kepada seluruh penjawat awam dalam meningkatkan prestasi serta budaya kerja berasaskan nilai.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan nilai H.E.M.A.T. bukan sekadar slogan, sebaliknya satu pendekatan baharu dalam membentuk pegawai awam yang berintegriti dan berjiwa rakyat.

Jelasnya, kejayaan pelaksanaan nilai ini bergantung kepada kesepaduan seluruh jentera kerajaan untuk menterjemahkannya dalam bentuk tindakan yang nyata.

"Inilah yang kami cuba perbanyakkan dalam perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dan Insya-Allah saya percaya selepas ini akan ada satu demi satu inisiatif yang boleh memberikan kemudahan kepada rakyat serta menunjukkan kerajaan amat prihatin dengan keperluan rakyat secara keseluruhannya," katanya.

Program Bicara Aspirasi H.E.M.A.T. menghimpunkan lebih 1,000 peserta, termasuk penyertaan secara dalam talian, terdiri daripada pegawai pelbagai kementerian, agensi serta pihak berkuasa tempatan.

Antara yang turut serta ialah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), INTAN, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Bahagian Kawalan Kredit Komuniti (BKKK), serta beberapa majlis bandaraya dan perbandaran utama di Lembah Klang dan Melaka.

Program turut disertai reruai pameran oleh agensi-agensi strategik KPKT, termasuk pameran khas TPPS yang memperkenalkan sistem e-TPS kepada pengunjung.

Inisiatif ini mencerminkan pendekatan menyeluruh kerajaan, di mana pelbagai agensi bekerjasama mengukuhkan pelaksanaan nilai H.E.M.A.T. di semua peringkat perkhidmatan awam.

 

TETITIA YUSOFF