PETALING JAYA, 4 Mei- Sebuah kereta dihempap sebatang pokok tumbang dalam satu kejadian di Persiaran Bandar Utama BU 8, di sini petang tadi, namun tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan panggilan kecemasan berhubung insiden itu diterima pada pukul 4.00 petang.
"Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara bersama sembilan anggota termasuk Komander Operasi, PBK II Azzamudin Abdul Majid, digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba enam minit kemudian," menurut kenyataan itu.
Komander yang berada di lokasi tersebut melaporkan, pihaknya mendapati sebatang pokok telah tumbang dan menghempap sebuah kereta.
Operasi tersebut ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.37 petang tadi.