KUALA LUMPUR, 4 Mei- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan individu yang dilaporkan hilang sejak 9 April lalu, Pamela Ling Yueh, merupakan saksi siasatan dalam kes bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).
SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan wanita berkenaan sebelum ini diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada 9 April lalu bagi membantu siasatan.
Namun wanita berkenaan gagal berbuat demikian selain percubaan untuk menghubunginya juga tidak berjaya.
Difahamkan, peguam yang mewakili Pamela telah membuat laporan polis mengenai kehilangan anak guamnya pada hari sama.
Sehubungan itu, usaha mengesan wanita berkenaan kini diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan laporan yang diterima.
Dalam kenyataan sama SPRM turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan maklumat daripada sumber tidak sahih.
Suruhanjaya itu sebaliknya mahu ruang diberikan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata, pihaknya mengklasifikasikan kehilangan Pamela yang dijadualkan hadir ke pejabat SPRM Putrajaya pada 9 April lalu bagi memberi keterangan berkaitan satu siasatan, sebagai kes culik.
Beliau juga mengesahkan tidak menerima sebarang tuntutan wang tebusan membabitkan Pamela.
Sebelum ini, media melaporkan, Pamela menaiki kenderaan e-hailing dari kediamannya di Cheras sebelum dikatakan dipintas sekumpulan lelaki.
Menurut ahli keluarganya, wanita itu menghantar mesej terakhir kepada peguamnya pada pukul 1.57 tengah hari memaklumkan dia dalam perjalanan ke pejabat SPRM dan dijangka tiba kira-kira pukul 2.08 petang.