fb fb fb fb fb

Kerangka Insentif Pelaburan Baharu dilaksana suku ketiga 2025

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Kerajaan bersetuju memperkenalkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu yang dijangka dilaksanakan pada suku ketiga 2025.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, enam kerangka berkenaan akan menumpukan aktiviti bernilai tinggi dapat memberi limpahan ekonomi kepada rakyat, negara dan pelabur.

"Bagi meningkatkan tahap kerencaman sektor ekonomi E&E melalui aktiviti bernilai tambah tinggi seperti perkhidmatan reka bentuk litar bersepadu (IC) dan bahan termaju, galakan cukai bagi peningkatan eksport diperluas kepada aktiviti reka bentuk IC.

"Bagi menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat dalam bidang AI dan teknologi terkini, potongan cukai khas diberikan kepada universiti swasta dan institut latihan kemahiran swasta yang membangunkan kursus baharu seperti teknologi digital, Kecerdasan buatan (AI), robotik, internet kebendaan (IoT), sains data, FinTech dan teknologi mampan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di parlimen di ibu negara.

Bagi mengukuhkan rantaian bekalan tempatan dan ekosistem sektor utama, Ikhtiar Ketahanan Rantaian Bekalan turut diperkenalkan dengan pemberian insentif hingga RM2 juta menerusi perbelanjaan perusahaan multinasional (MNE).

Manakala pengumpulan ekonomi akan diwujudkan mengikut keistimewaan negeri seperti tenaga boleh baharu di Perlis dan Sabah, industri kimia khusus di Pahang dan Terengganu.

Sementara itu bagi mengurangkan jurang ekonomi antara wilayah,insentif cukai pendapatan pada kadar istimewa ditawarkan bagi pelaburan dalam 21 sektor ekonomi seperti di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak, tertakluk kepada keberhasilan limpahan ekonomi.

Galakan cukai seperti elaun cukai pelaburan atau pengecualian cukai pendapatan diberikan untuk aktiviti Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) bagi pelaburan berlandaskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Anwar berkata, langkah berkenaan juga termasuk memperkenalkan dana pelaburan strategik bernilai RM1 bilion sebagai usaha meningkatkan kapasiti bakat tempatan dan menggalakkan aktiviti bernilai tinggi dilaksanakan di negara ini.

Kerangka berkenaan akan disokong melalui fasilitasi pelaburan yang inklusif untuk merangsang pertumbuhan ekonomi seimbang di seluruh negara.

Berkenaan pelaburan strategik, sejumlah RM200 juta disediakan meliputi Dana Pelaburan Bersama Strategik (CoSIF) dan Dana Pembangunan Industri NIMP (NIDF) bagi menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pertengahan serta menggalakkan pendayaciptaan.

"Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) melalui ikhtiar GEAR-uP akan meningkatkan pelaburan langsung dalam negara berjumlah RM120 bilion bagi tempoh lima tahun dengan RM25 bilion dilaburkan tahun depan," katanya lagi.

Seterusnya bagi menyokong pengembangan syarikat mula niaga tempatan, kerajaan menerusi Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) akan menubuhkan National Fund-of-Funds (NFOF) dengan dana RM1 bilion.

Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) juga menyediakan RM1 bilion untuk turut menyokong aktiviti syarikat mula niaga tempatan dengan RM200 juta untuk 2025.

Proses kelulusan aliran dana rentas sempadan di bawah Dasar Pentadbiran Pertukaran Asing kini dimudah cara dan boleh dibuat berdasarkan jumlah saiz mandat dana bagi memperkukuh ekosistem modal teroka supaya kekal berdaya saing dalam menarik pelaburan asing.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI