KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Kerajaan akan memulakan Program Latihan Khidmat Negara 3.0 secara rintis dengan konsep baharu bagi pelajar lepasan kadet sekolah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memperuntukan sebanyak RM50 juta kepada Kementerian Pertahanan bagi program rintis tersebut.
Katanya, program ini juga melibatkan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi beruniform lain.
"PLKN 3.0 akan menggunakan prasarana sedia ada dengan kerjasama Akademi Kenegaraan," katanya ketika membacakan teks ucapan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Anwar, kerajaan memperuntukan RM25 juta bagi Program Rakan Muda untuk terus menjadi wadah pembinaan potensi dan identiti belia berjati diri.
Kali terakhir PLKN dilaksanakan adalah pada tahun 2015.
PLKN diperkenalkan pada 16 Februari 2004 oleh pentadbiran terdahulu bagi memperkasa nilai jati diri dan kenegaraan belia.