KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Kepengerusian ASEAN 2025 peluang terbaik Malaysia mengemudi ASEAN berpandukan Wawasan Komuniti ASEAN 2045.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara beriltizam melakar hala tuju ASEAN lebih berdaya tahan, berdaya cipta dan berpaksikan rakyat.
Katanya, Malaysia komited untuk meneruskan pendekatan bersama-sama dalam memacu agenda pembaharuan di peringkat ASEAN.
Ini termasuk menggerakkan pembangunan di kawasan sempadan dengan negara-negara jiran, bertujuan mencapai kemakmuran bersama bagi rantau ini.
"Tentunya mencabar untuk melunas amanah besar pada detik ini, apalagi ASEAN teruji dengan persaingan kuasa-kuasa besar, isu Laut China Selatan, krisis Myanmar, hal keterjaminan makanan serta perubahan iklim.
"Atas kelebihan yang ada, Malaysia akan membawa ASEAN mengharungi masa depan dengan yakin, termasuk memperkukuh kerjasama ekonomi serantau menerusi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Plus China buat julung kalinya," kata Anwar.
Beliau berkata demikian dalam pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI, di Parlimen.
Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 melibatkan penganjuran lebih 270 mesyuarat dan aktiviti melibatkan semua negeri.
"Saya berharap, penganjuran ini dapat menjana pendapatan usahawan khususnya penyedia khidmat logistik, perhotelan, pelancongan termasuk jualan kraftangan," katanya lagi.
Tambahnya semua kementerian dan jabatan kerajaan yang terlibat dengan penganjuran mesyuarat dan aktiviti perlu memperoleh kraf tangan daripada pengusaha
tempatan.
Ini bagi mengetengahkan kehalusan, keunikan dan keaslian hasil tangan anak tempatan untuk dikongsikan kepada semua.