PULAU TUBA, 23 Disember – Pelaksanaan pendidikan berimpak tinggi di peringkat akar umbi memerlukan pendekatan berpaksikan komuniti, relevan dengan realiti setempat serta konsisten dan berakauntabiliti.
Berdasarkan keperluan itu, Universiti Utara Malaysia (UUM) memperkemaskan kerangka Pembelajaran Bahasa Berasaskan-Komuniti atau Community-Based Language Learning (CBLL) sebagai satu pendekatan strategik bagi memperkasa pendidikan peringkat akar umbi.
Menurut Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, CBLL merupakan satu pendekatan yang dapat menghubungkan pembelajaran bahasa dengan pengalaman sebenar pelajar dalam komuniti, sekali gus menjadikan proses pembelajaran lebih bermakna dan berkesan.
“Kerangka CBLL ini tidak hanya fokus kepada aspek penguasaan bahasa Inggeris semata-mata tetapi merangkumi modul yang dapat membina kefahaman pelajar terhadap konteks kehidupan masyarakat setempat. Pendekatan ini selari dengan aspirasi UUM untuk memperkukuh pendidikan akar umbi secara inklusif dan mampan, khususnya di kawasan terpencil. Pelaksanaannya menerusi SE-Budi Hasanah Siri 11 di Pulau Tuba, telah membuahkan impak ditetapkan apabila pendekatan itu telah diterima dan dipraktikkan secara aktif dalam komuniti terlibat,” jelas beliau.
Kerangka CBLL yang dibangunkan memberi penekanan kepada pembelajaran bahasa Inggeris melalui interaksi langsung dengan komuniti, eksplorasi isu sosioekonomi setempat serta penglibatan pelajar dalam aktiviti berasaskan pengalaman sebenar.
Pelaksanaan SE-Budi Hasanah Siri 11 melibatkan seramai 239 pelajar sekolah menengah Pulau Tuba yang mengikuti modul pembelajaran kontekstual merangkumi elemen alam sekitar, budaya, keusahawanan sosial dan pembinaan jati diri.
Pendekatan ini membuka ruang kepada pelajar untuk menggunakan bahasa Inggeris secara autentik dalam situasi sebenar, bukan hanya di dalam bilik darjah.
Ia dilaksanakan melalui Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) dan diterajui Ketua Penyelidik merangkap Penyelaras Keusahawanan Sosial CEDI, Fatin Athirah Fadzillah.
Kepimpinan pelajar turut memainkan peranan penting dalam menjayakan pendekatan CBLL ini yang dipimpin oleh Ketua Pelajar SE-Budi Hasanah, Nurul Aulia Abdul Malek.
Peranan mahasiswa sebagai fasilitator dan mentor lapangan memperkukuh hubungan antara universiti, sekolah dan komuniti setempat.
Pelaksanaan kerangka CBLL ini menerima sokongan penuh melalui Geran Khas Hasanah (HSG 5.0) dengan pembiayaan berjumlah RM361,000 daripada salah satu subsidiari Khazanah Nasional iaitu Yayasan Hasanah.
Sokongan ini membolehkan kerangka CBLL diuji, diperhalusi dan dilaksanakan secara sistematik dalam konteks komuniti Pulau Tuba.
Penglibatan UUM selaku peneraju inisiatif ini dapat memastikan penyampaian modul yang berkualiti, pematuhan dokumentasi sepenuhnya, aspek pengurusan kewangan telus serta kebertanggungjawaban progam dipenuhi dengan mematuhi piawaian pelaporan serta akauntabiliti pihak penaja.
Kerangka CBLL ini turut diperkukuh melalui kerjasama Pusat Inovasi dan Komersial (ICC) UUM dengan Dr Mohd Aamir Adeeb Abdul Rahim selaku penyelaras.
Ia mendapat sokongan kerjasama strategik rakan industri dan institusi pendidikan seperti Yayasan Pelajaran MARA, City University Malaysia, Deloitte Malaysia, Athena Holdings Sdn. Bhd. dan Flour Crown, yang secara kolektif menyumbang kepada pengayaan pengalaman pembelajaran pelajar dalam konteks dunia sebenar.
Dari sudut akademik, pelaksanaan CBLL menerima bimbingan daripada Prof. Dr. Nurahimah Mohd Yusoff serta Dekan Pusat Pengajian Pendidikan Albukhary International University, selain sokongan pedagogi daripada mantan pensyarah-pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman, Ramli Abu Mansor dan Fadzillah Fadzil.
Dokumentasi program diuruskan oleh Unifilm Studio UUM, manakala penyelarasan komuniti dilaksanakan bersama Koperasi Kepulauan Tuba dan Selat (KOPTUBAS).
Keseluruhannya, pelaksanaan SE-Budi Hasanah Siri 11 membuktikan bahawa kerangka Community-Based Language Learning dibangunkan UUM ini bukan sahaja relevan secara teori, malah praktikal dan diterima baik oleh komuniti.
Ia sekali gus menjadi model pendidikan akar umbi yang berpotensi diperluaskan ke komuniti lain sebagai usaha memperkasa pelajar melalui pembelajaran bahasa yang bermakna, kontekstual dan berimpak tinggi.