KANGAR, 23 Disember - Majlis Belia Negeri Perlis (MBNP) menegaskan bahawa kepentingan rakyat harus menjadi keutamaan dalam menghadapi pergolakan kepimpinan tertinggi negeri susulan perkembangan politik semasa yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Presiden Majlis Belia Negeri Perlis, Mohd Jeffry Hassan berkata, kestabilan pentadbiran hanya akan terjamin jika semua pihak mengutamakan tanggungjawab terhadap rakyat melebihi kepentingan peribadi atau parti.
“Pembangunan ekonomi negeri, kebajikan sosial, serta program belia dan pendidikan perlu diteruskan tanpa sebarang gangguan.
"Jangan sesekali membiarkan kemelut politik menjejaskan dasar-dasar pembangunan yang sedang dirancang mahupun dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau menegaskan bahawa golongan belia di Perlis mengimpikan sebuah negeri yang makmur, stabil, dan progresif, yang hanya dapat dicapai dengan kestabilan kepimpinan.
Mohd Jeffry turut menekankan kesetiaan rakyat, khususnya golongan belia, kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, sebagai elemen penting dalam mengekalkan keharmonian negeri.
“Dalam keadaan politik yang tidak menentu, institusi diraja merupakan tiang seri kestabilan negeri dan wajar menjadi rujukan tertinggi dalam mengekalkan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Beliau menyeru semua pihak agar menghentikan ketegangan politik dan kembali kepada perjuangan sebenar untuk rakyat.