fb fb fb fb fb

Kerajaan tidak pernah abai isu LCS, kata PM

BERA, 12 November - Kerajaan tidak pernah mengabaikan isu berhubung perolehan aset ketenteraan seperti kapal tempur pesisir (LCS), tegas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, kerajaan telah mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu yang dibangkitkan dan agensi bertanggungjawab sudah menjalankan siasatan.

Malah pihak terbabit yang terlibat dalam penyelewengan didakwa di mahkamah, katanya.

"Menteri Pertahanan (Datuk Seri Hishamuddin Hussein) juga telah buat kenyataan dan menjelaskan perkara ini beberapa kali.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah menyiasat dan mereka yang dituduh terbabit dengan penyelewengan dibawa ke mahkamah, jadi perkara itu sedang berjalan.

"Jadi tidak betullah jika kata kita tidak mengendahkannya," katanya kepada media di Dewan Konvensyen Bera selepas merasmikan Karnival Anak Muda Gegor Bera di sini hari ini.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri/FOTO fail)

Ismail Sabri berkata demikian ketika menjawab kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilapor memintanya memohon maaf kepada tentera berhubung isu perolehan aset yang timbul dalam pasukan keselamatan itu.



Media Baharu