fb fb fb fb fb

2,052 penduduk terjejas banjir di tujuh negeri

KUALA LUMPUR, 12 November - Lebih 2,000 penduduk melibatkan 7 buah negeri ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Perak negeri terbaharu dilanda banjir dengan satu PPS dibuka, di dewan Kampung Matang Merbau Sungai Tinggi yang menempatkan satu keluarga.

Di Kelantan, setakat pukul 6 petang tadi, seramai 809 penduduk terjejas banjir daripada 265 keluarga yang ditempatkan di enam buah PPS di Pasir Mas dan Tanah Merah.

Pasir Mas merekodkan 5 buah PPS dengan menempatkan 753 penduduk.

Manakala 16 penduduk di Tanah Merah ditempatkan di PPS Balai Raya Padang Kijang.

Di Pulau Pinang pula, seramai 204 penduduk melibatkan 55 keluarga ditempatkan di tiga PPS, selepas beberapa kawasan dilanda banjir kilat susulan hujan lebat.

Tiga PPS itu melibatkan 2 di Seberang Perai Utara dan satu di Seberang Perai Tengah.

Sementara itu, angka penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di dua PPS di Alor Gajah, Melaka pula terus meningkat kepada 37 orang daripada 11 keluarga berbanding 29 penduduk terjejas daripada 10 keluarga, pada pagi tadi.

Kesemua penduduk terjejas ditempatkan di PPS Balairaya Gadek dan PPS Balai Raya Bukit Balai Durian Tunggal.

Di Johor pula, tiga PPS dibuka, menempatkan 57 penduduk terjejas daripada 18 keluarga.

Kesemua PPS yang dibuka di Segamat, masing-masing, Balairaya Gemereh IV, Batu Badak, Balairaya Kampung Kuala Paya, dan Dewan Komuniti Kampung Tasek.

Di Kedah, tiga PPS yang dibuka menempatkan 187 penduduk terjejas daripada 44 keluarga.

Tiga PPS berkenaan, masing-masing SK Sungai Limau, Surau Taman Sang Kancil, Lunas, dan Dewan Masjid Sungai Seluang, di Kulim.

Jumlah penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di lapan PPS di Klang dan Kuala Selangor mencatatkan penurunan setakat enam petang.

Berdasarkan statistik Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 748 penduduk terjejas daripada 183 keluarga masih berlindung di PPS.


Media Baharu