fb fb fb fb fb

Kerajaan tidak 'diam', cari jalan tangani kos sara hidup - PM Ismail Sabri

PASIR SALAK, 3 Julai- Dakwaan mengatakan kerajaan hanya berpeluk tubuh dan tidak berbuat apa-apa bagi menangani peningkatan kos sara hidup ketika ini adalah tidak benar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan masih mengekalkan subsidi barangan termasuk minyak masak, petrol dan diesel bagi memastikan beban rakyat dapat dikurangkan.

Jelas beliau, berbeza dengan pendekatan kerajaan terdahulu, kerajaan yang ada pada hari ini mengambil pendekatan menyelesaikan permasalahan rakyat dengan segera.

"Pembangkang mengatakan bahawa semua subsidi ditamatkan pada 1 Julai, subsidi apa yang ditamatkan? Subsidi terus kekal, subsidi minyak masak kita berbelanja RM4 bilion untuk pastikan subsidi itu masih diterima oleh rakyat supaya harga minyak masak masih kekalRM2.50 kalau minyak masak tidak disubsidi harga minyak masak adalah sebanyak RM9.50 sekampit, 1 kg,"kata Ismail.

Tambahnya, Malaysia mengimport produk bahan makanan seperti makanan ayam dengan 70 peratus kos pengeluaran disumbang oleh bahan mentah itu yang boleh menyebabkan kenaikan harga ayam.

Bagaimanapun jelasnya, kerajaan memperuntukkan subsidi lebih RM70 bilion untuk barangan asas bagi menangani peningkatan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Perak 2022 di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Jelajah AKM peringkat Perak menutup tirainya hari ini dengan lebih 30-ribu pengunjung menghadiri program berkenaan tiga hari yang bermula sejak Jumaat lalu.

 


(Datuk Seri Ismail Sabri berucap pada majlis penutupan program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Perak 2022 di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah, Pasir Salak)

Media Baharu