fb fb fb fb fb

Kerajaan tidak cadang kenakan caj kenderaan masuk bandar

Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto BERNAMA

GOMBAK, 29 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak bercadang untuk mengenakan caj kepada kenderaan persendirian yang memasuki pusat bandar buat masa ini.

Menurut Datuk Seri Anwar, langkah seumpama itu yang diamalkan di beberapa negara lain dilihat berisiko membebankan rakyat sekiranya dilaksanakan sekarang.

"Sesetengah negara mengenakan bayaran masuk kenderaan ke bandar bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Namun, kita tidak mencadangkan langkah ini buat masa sekarang kerana ia mungkin membebankan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Terminal Bersepadu Gombak (TBG) dan Mini Karnival MOT 2025 di sini, hari ini.

Tambah Perdana Menteri, fokus kerajaan pada masa ini adalah memastikan sistem pengangkutan awam benar-benar menyeluruh dan berkesan.

"Sebaik saja lingkaran pengangkutan awam itu menyeluruh dan baik di seluruh negara, barulah mana-mana kota besar boleh fikir langkah yang sesuai," katanya.

Jelasnya, pengalaman lalu pada tahun 1990-an menunjukkan rakyat kurang menerima langkah mengehadkan kenderaan persendirian kerana ketika itu perkhidmatan bas dan infrastruktur awam tidak memadai.

"Masa itu bas penuh sesak, panas, rakyat tidak selesa. Sebab itu ia gagal. Hari ini situasinya berbeza, kemudahan jauh lebih baik, tetapi kita mesti pastikan ia benar-benar berfungsi sebelum fikir langkah tambahan," katanya.

Tegas Perdana Menteri, pendekatan kerajaan kini adalah memastikan setiap projek infrastruktur, termasuk TBG dan projek rel seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), benar-benar memberi manfaat kepada rakyat sebagai pengguna utama.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM