fb fb fb fb fb

Kerajaan tidak berhasrat wujudkan gelembung pelancongan dengan negara luar

KUALA LUMPUR, 1 Ogos- Kerajaan tidak berhasrat untuk meneruskan rundingan bagi mewujudkan gelembung pelancongan (travel bubble) dengan negara-negara luar.

Ia memandangkan negara telah membuka semula sempadan pada 1 April lalu dan telah menetapkan beberapa prosedur yang perlu dipatuhi oleh pengembara antarabangsa untuk datang ke Malaysia.

Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Dr. Santhara Kumar berkata, ia bagi memastikan pembukaan semula sempadan antarabangsa negara adalah selamat serta tidak berkompromi daripada penularan COVID-19.

Namun katanya, rundingan bagi mewujudkan Vaccinated Travel Lane (VTL) masih boleh diteruskan dengan negara-negara yang masih menutup sempadan antarabangsa atau yang masih tidak membenarkan rakyat dari negaranya untuk ke luar negara seperti negara China dan beberapa negara lain.

Dalam pada itu katanya, MOTAC akan sentiasa bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak mencari penyelesaian terbaik demi menyemarakkan semula hubungan kerjasama dan pertukaran pelancong di antara Malaysia dan China pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Dr. Santhara Kumar

"Menyedari manfaat besar yang diperoleh oleh negara melalui kunjungan pelancong China sebelum pandemik, MOTAC melalui Kementerian Luar Negeri (KLN) telah menyuarakan cadangan supaya pihak Kerajaan Republik Rakyat China (RRC) memberi keutamaan kepada Malaysia sebagai negara yang dibenarkan untuk dikunjungi oleh rakyatnya apabila pintu sempadan negara berkenaan dibuka kelak. Saranan ini telah dikemukakan oleh MOTAC kepada KLN untuk diajukan oleh delegasi Malaysia di ruang, arena serta masa yang sesuai," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Sri Panglima Bung Moktar Radin.

Tambahnya, kehadiran pelancong khususnya dari China ke dalam negara juga memberi impak besar terhadap industri pelancongan serta merancakkan aktiviti ekonomi dalam negara.

Media Baharu