PUTRAJAYA, 9 Januari- Kerajaan tidak akan mendedahkan kepada umum butiran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang membincangkan pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata apa yang termaktub dalam minit mesyuarat itu adalah perkara sulit.
"Minit mesyuarat adalah perkara sulit, jadi kita tidak boleh buat perkara itu didedah kepada umum. Itu hanya hak Lembaga Pengampunan," katanya.
Beliau ditemui media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kiosk Sentuhan MADANI yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya.
Terdahulu, terdapat saranan yang meminta agar kerajaan mendedahkan butiran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan kepada umum.
Tindakan itu dikatakan dapat menghentikan spekulasi berhubung dokumen tambahan yang membolehkan bekas Datuk Seri Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.