fb fb fb fb fb

Kerajaan teroka ekonomi perak, hadapi status negara tua menjelang 2043

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Julai - Kerajaan sedang mengkaji peluang untuk meneroka pertumbuhan ekonomi dalam memastikan kesejahteraan warga emas atau ekonomi perak (silver economy) dalam usaha mempersiapkan Malaysia menghadapi status negara tua menjelang 2043.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, langkah tersebut penting  bagi  memastikan negara dapat merebut peluang, kesan daripada populasi penuaan selain menyokong pertumbuhan ekonomi terbabit.

"Pembangunan ekonomi perak akan menyokong pertumbuhan ekonomi negara secara inklusif, seiring dengan peningkatan populasi warga emas," katanya di Dewan Rakyat hari ini, menjawab soalan tambahan Wakil Cheras, Tan Kok Wai.

Tambahnya, kerajaan sedang mempertimbangkan penubuhan Majlis Populasi Menua di peringkat kebangsaan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025–2045 (NAB).

Pada masa sama, Majlis Tindakan Ekonomi Negara(MTEN) diputuskan untuk dijadikan platform utama tadbir urus utama bagi menyelaras pelaksanaan dasar serta pemantauan inisiatif di bawah Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045; termasuk meneroka potensi ekonomi perak.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI