fb fb fb fb fb

Kepercayaan dan konsensus: Kukuhkan kestabilan serantau

Foto RTM

JAKARTA, 29 Julai -Asas kepercayaan, dialog dan keputusan secara konsensus membolehkan ASEAN menguruskan perbezaan dan mengelak sebarang ketegangan yang timbul menjadi lebih buruk.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama yang dikongsi bersama berjaya mengukuhkan kestabilan serantau meski ketika cabaran timbul. 

Dengan terus menegakkan Piagam ASEAN dan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama ASEAN, blok itu boleh mengukuhkan keamanan. 

Katanya ia juga memastikan ASEAN kekal sebagai komuniti yang amanah dan saling bekerjasama seterusnya memelihara kemakmuran bersama untuk generasi akan datang.

"Semalam, dalam kapasiti kami selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia telah diberi kepercayaan untuk menjadi tuan rumah kepada pemimpin Kemboja dan Thailand pada saat ketegangan di sempadan kedua-dua negara menjadi punca kebimbangan besar kepada kita semua. Saya percaya bahawa, walaupun keadaan semakin tegang dan berbahaya, adalah penting untuk membawa kedua-dua pihak ke meja rundingan.

"Menjelang pertemuan tersebut, saya telah menghubungi kedua-dua pemimpin, mendengar pandangan mereka dengan teliti, dan menggesa agar mereka mencari titik persefahaman demi mengelakkan kehilangan nyawa yang lebih ramai. Dengan penyertaan Amerika Syarikat (AS) dan China, kedua-dua pihak akhirnya bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat.

"Perkembangan ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan kuasa pemersatu ASEAN, tetapi juga menunjukkan komitmen positif rakan-rakan strategik kita dalam memastikan kestabilan serantau terus terpelihara," katanya ketika menyampaikan "Policy Speech on ASEAN" sempena lawatan ke Sekretariat ASEAN, di sini.

TETITIA YUSOFF