fb fb fb fb fb

279 Arahan Suruhanjaya dikeluarkan tangani kualiti perkhidmatan mudah alih -MCMC

Foto FB Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

CYBERJAYA, 29 Julai - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil langkah tegas dalam memastikan kualiti perkhidmatan mudah alih sentiasa berada pada tahap memuaskan apabila mengeluarkan sebanyak 279 arahan Suruhanjaya kepada pelbagai penyedia perkhidmatan di seluruh negara.

Arahan itu dikeluarkan selaras dengan Penentuan Suruhanjaya No. 2 Tahun 2023 bagi menangani ketidakpatuhan terhadap Standard Mandatori bagi Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) untuk perkhidmatan akses jalur lebar tanpa wayar dalam memperkukuh mutu perkhidmatan komunikasi di Malaysia, khususnya dalam memastikan pengguna mendapat pengalaman yang stabil dan berkualiti.

Pemantauan berterusan pihak MCMC mendapati sebilangan penyedia perkhidmatan gagal memenuhi piawaian minimum yang ditetapkan di bawah MSQoS yang dikesan bukan sahaja di kawasan luar bandar, malah turut berlaku di kawasan bandar, sekali gus menjejaskan kualiti pengalaman pengguna secara keseluruhan.

Aspek yang diberi perhatian melibatkan beberapa komponen penting perkhidmatan seperti kelajuan muat turun, kependaman rangkaian, kehilangan paket, ketersediaan perkhidmatan serta tempoh masa capaian laman web dan penstriman video.

Penyedia perkhidmatan yang gagal mengambil tindakan penambahbaikan dalam tempoh yang ditetapkan boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM500,000 bagi setiap ketidakpatuhan, seperti yang diperuntukkan di bawah subseksyen 105(5) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta A1743).

MCMC turut menggesa semua penyedia perkhidmatan agar segera mengambil langkah pembetulan yang sewajarnya demi menjamin mutu perkhidmatan komunikasi negara serta meningkatkan kepuasan pengguna.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN