fb fb fb fb fb

Kerajaan terima komitmen swasta, wujudkan Wakaf Madani dengan aset lebih RM1 bilion

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

KUALA LUMPUR, 24 Februari- Kerajaan telah menerima komitmen swasta untuk mewujudkan Wakaf Madani dengan aset bernilai lebih RM1 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata aset yang terdiri daripada tanah, masjid, bangunan kemudahan kesihatan dan pendidikan itu akan dioptimumkan bagi manfaat golongan fakir miskin, berpendapatan rendah dan golongan rentan lain.

Menurut beliau, sesuai dengan kerangka Madani, kaedah berwakaf merupakan salah satu mekanisme pengagihan semula kekayaan yang menyumbang kepada kesejahteraan sejagat.

"Kejayaan pembinaan Menara Bank Islam di segi tiga emas Kuala Lumpur atas wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy yang bernilai ratusan juta ringgit menunjukkan keupayaan sebenar sektor wakaf terhadap agenda pembangunan.

"Begitu juga Wakaf Seetee Aisyah dan Wakaf Simpang Enam di Pulau Pinang yang boleh dijadikan rujukan sebagai pusat sosioekonomi rakyat setempat.

"Malah Wakaf FELDA membuktikan adanya anjakan minda peneroka apabila mereka bukan lagi semata-mata golongan menerima bantuan tetapi telah mula berkongsi rezeki dengan nilai wakaf terkumpul melebihi RM27 juta walaupun tabung wakaf baru ditubuhkan pada 2021," katanya.

(Sesuai dengan kerangka Madani, kaedah berwakaf merupakan salah satu mekanisme
pengagihan semula kekayaan yang menyumbang kepada kesejahteraan sejagat)

Beliau menyatakan demikian ketika membentangkan Belanjawan 2023: Membangun Malaysia Madani di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Tambah Anwar, setakat ini, tanah wakaf berdaftar yang berjaya dibangunkan hanya sekitar 3,500 hektar atau 12 peratus.

Sehubungan itu, usaha segera perlu digembleng dalam membangunkan tanah dan aset wakaf.

Media Baharu