fb fb fb fb fb

Kerajaan teliti peraturan kod berpakaian ketika berurusan di pejabat kerajaan

(FOTO HIASAN)

GEORGE TOWN, 1 Julai - Kerajaan akan meneliti peraturan dalaman untuk menangani isu kod pemakaian yang ditetapkan kepada orang ramai ketika berurusan di pejabat kerajaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata kerajaan perlu meneliti perkara itu dengan serius kerana ia boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

(Ramkarpal Singh / FOTO BERNAMA)

“Kerajaan juga harus melihat cara untuk mengawal selia etika berpakaian supaya ia seragam bagi mengelak percanggahan di negeri yang berbeza,” katanya kepada pemberita, di sini.

Baru-baru ini, dilaporkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB) mengenakan kompaun terhadap seorang peniaga wanita bukan Islam kerana memakai seluar pendek hingga pangkal paha di premis perniagaanya.

Bagaimanapun, MPKB bersetuju membatalkan kompaun terhadap wanita berusia 35 tahun itu selepas sesi perbincangan diadakan bersama Ketua Pengarah, Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali.

Sementara itu, dilaporkan seorang anggota Jabatan Sukarelawan (RELA) bertugas di pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pulau Pinang didakwa cuba menghalang seorang wanita bukan Islam memakai skirt daripada memasuki pejabat tersebut, Rabu lalu.-BERNAMA

Media Baharu