KUALA LUMPUR, 1 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan membabitkan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meminta suapan daripada pelancong asing.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata maklumat lanjut sedang diperoleh daripada semua pihak terlibat termasuk daripada seorang kenamaan dan Jabatan Imigresen.

"SPRM akan mendapatkan maklumat daripada semua pihak dan menyiasat perkara itu sewajarnya. Oleh itu, kami menggesa orang ramai agar tidak mensensasikan atau membuat spekulasi mengenai perkara ini," katanya menerusi kenyataan, pada Sabtu.
Terdahulu, media melaporkan kekecohan di KLIA melibatkan orang kenamaan didakwa cuba 'menyelamatkan' seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini, sebaik tiba lapangan terbang tersebut.
Kejadian itu turut tular di media sosial apabila individu kenamaan berkenaan dikatakan masuk ke ruang balai ketibaan itu, tanpa memohon pas keselamatan.
Semalam, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, siasatan menyeluruh dijalankan mengenai insiden itu merangkumi semua aspek berkaitan.
Berita Berkaitan:
Imigresen mulakan siasatan dakwaan insiden kekecohan libat menteri