PUTRAJAYA, 8 Oktober- Kerajaan sedang meneliti Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak sebelum mengumumkan pelaksanaannya secara penuh.
Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil menyatakan antara aspek yang sedang diperhalusi adalah Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan perbezaan sesi persekolahan.
"Jemaah menteri telah menerima laporan terkini mengenai pelan strategik ini, namun terdapat beberapa perkara yang diminta untuk diteliti oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum pengumuman penuh dibuat.
"Kami berharap perkembangan positif mengenai isu pemakanan kanak-kanak akan dapat diumumkan menjelang sidang Parlimen kali ini," katanya pada sidang media mingguan pascamesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Dalam pada itu Barisan Jemaah Menteri diminta membuat persiapan rapi menjelang persidangan Parlimen pada 14 Oktober ini dan perkara itu ditegaskan oleh Perdana Menteri semasa mempengerusikan mesyuarat kabinet tersebut.
Mengulas lanjut, Anwar turut menekankan kepentingan Jemaah Menteri untuk memahami semua rang undang-undang (RUU) serta usul yang akan dibentangkan memandangkan Belanjawan 2025 bakal dibentangkan pada 18 Oktober nanti.
"Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini membincangkan beberapa perkara mengenai persiapan terutama dalam kalangan menteri-menteri untuk memastikan tahap kesiapsiagaan bagi menjawab soalan dan membentangkan RUU serta usul-usul yang mungkin dibahaskan," jelas Fahmi.