fb fb fb fb fb

JPS Perak kesan 332 kawasan berpotensi banjir

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin / Foto RTM

BAGAN SERAI, 8 Oktober - Sebanyak 332 kawasan di Perak dikenal pasti berpotensi banjir oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berkata setakat ini, 85 peratus daripada 117 kejadian banjir yang berlaku adalah di kawasan titik panas banjir.

Katanya, sepanjang tempoh fasa peralihan monsun, taburan hujan yang tinggi direkodkan, dengan kumulatif melebihi 100 hingga 150 milimeter sehari.

Susulan itu, JPS telah mengaktifkan semua pam serta menempatkan pam bergerak di lokasi-lokasi berpotensi banjir, terutamanya untuk menangani banjir termenung di kawasan Kerian.

"Buat masa ini, kita akan pastikan tiada banjir yang lebih dahsyat daripada yang berlaku pada akhir September lalu. Jika banjir berlaku, tindakan yang telah diambil ialah pengaktifan pam bergerak oleh pihak JPS," katanya dalam satu sidang media di JPS Kerian, di sini.

Mohamad Nizar turut memaklumkan Projek Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Kerian (RTB Kerian) telah banyak membantu mengurangkan masalah banjir di daerah Kerian serta Larut Matang dan Selama (LMS).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN