SELAYANG, 6 November - Kerajaan sedang meneliti untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap individu atau pihak yang didapati melakukan kesalahan membuang sampah ke dalam sungai.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata langkah itu dibuat bagi menimbulkan rasa gerun kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan tersebut.
Katanya, sejumlah RM8.2 juta diperuntukan untuk penyelenggaraan sampah dalam sungai sekitar Selangor dan Kuala Lumpur antara Januari hingga September tahun ini.
"Daripada jumlah tersebut, RM166,320 telah dibelanjakan untuk penyelenggaraan sampah di struktur benteng balak di Kolam Takungan Banjir Jinjang dan RM150,000 setahun bagi penyelenggaraan sampah Anak Sungai Udang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pengurusan sampah di sekitar Sungai Jinjang berhampiran Pasar Harian Selayang, di sini.
Terdapat dua sungai utama yang melalui Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Harian Selayang iaitu Sungai Jinjang dan Anak Sungai Udang.