fb fb fb fb fb

KEMAS sasar 100,000 kanak-kanak huffaz cilik, menjelang 2026

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun

KUALA LUMPUR, 6 November- Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menyasarkan 100,000 kanak-kanak huffaz cilik, menerusi Program Tabika Pra Tahfiz KEMAS menjelang 2026.

KEMAS telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi program yang memberi nilai tambah kepada modul sedia ada (Modul Penghayatan Islam) merangkumi aspek pendidikan al-Quran.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun berkata Program Tabika Pra Tahfiz disifatkan sebagai perubahan efektif atau 'game changer' dalam memperkasakan pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak seawal usia.

"Program ini kita telah rangka daripada awal tahun ini melalui pelbagai perbincangan yang dibuat antara kita, Yayasan Pahang, UPSI dan Yayasan Pintar dan melalui perbincangan-perbincangan yang telah kita atur, kita telah merangka pelbagai kaedah modul.

"Bagi tahun 2024 inshaa-Allah, kita akan mula memperkenalkan sesi pra tahfiz ini di 4,000 Tabika pada tahun 2025 inshaa-Allah 4,000 lagi akan melaksanakan program ini di seluruh negara", katanya kepada RTM di KEMAS Kg. Sri Batu, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata, bagi pelaksanaan dan persediaan guru, 100 kelas untuk projek rintis telah dilaksanakan bermula 6 Jun lalu.

"Kita telah mengadakan latihan kepada guru-guru kita dengan menggunakan penceramah daripada Yayasan Pahang dan mereka ini telah dihidangkan dengan pelbagai kemahiran teknik pengajaran, teknik hafazan kaedah pembelajaran secara fun learning ini dan juga pentaksiran dan juga pemantauan", katanya.

KEMAS dengan kerjasama Yayasan Pahang optimis dan komited untuk memperluaskan pelaksanaan modul kepada keseluruhan Tabika KEMAS dari semasa ke semasa.

ROSLINA BINTI DIN