fb fb fb fb fb

Kerajaan setuju tubuhkan MTN, terajui hala tuju membuat keputusan strategik berkaitan sektor tenaga

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan pada pelancaran Dasar
Tenaga Negara 2022-2040 hari ini/ Foto BERNAMA)

PUTRAJAYA, 19 September - Kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Tenaga Negara (MTN) bagi menerajui hala tuju peringkat tertinggi dalam membuat keputusan strategik berkaitan sektor tenaga.

Ini berikutan strategi dan pelan tindakan Dasar Tindakan Negara (DTN) merentasi pelbagai sektor dan pihak berkepentingan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan beliau akan mempengerusikan MTN bagi memastikan inisiatif DTN dilaksanakan secara berkesan oleh kementerian dan agensi bertanggungjawab berdasarkan akauntabiliti dan peranan masing-masing.

"DTN merupakan ‘living document’ yang dikemas kini setiap tiga tahun dengan semakan dan pertimbangan dilakukan MTN, selari dengan kemajuan teknologi, tahap pencapaian sosioekonomi negara dan keseimbangan trilema tenaga semasa," kata beliau ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dasar Tenaga Negara 2022-2040, di sini hari ini.

Kerajaan telah menggubal Dasar Tenaga Negara 2022-2040 atau DTN, dengan mengambil kira perkembangan serta cabaran dalaman dan luaran demi memastikan sektor tenaga dapat terus membangun dengan mampan.


(Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga, kiri) melawat ruang pameran yang disediakan oleh
Tenaga Nasional Berhad selepas melancarkan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 hari ini/ Foto BERNAMA)

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menyatakan kerajaan akan menumpukan pembangunan pengecas kenderaan elektrik (EV) dengan menawarkan pelbagai insentif cukai.

Inisiatif itu bagi menggalakkan aktiviti pemasangan dan pengilangan kenderaan, pengeluaran komponen berkaitan EV serta perkhidmatan teknologi hijau.

"Kerajaan juga telah menubuhkan EV 'Taskforce' yang dianggotai oleh pelbagai pihak untuk memperinci strategi sedia ada berkaitan pembangunan EV dan mempromosi industri EV tempatan. Dalam hal ini, empat bidang menjadi fokus utama iaitu meningkatkan penggunaan EV,membangunkan infrastruktur pengecasan, membangunkan bakat dan menarik pelaburan selain rangka kerja strategik dikenal pasti bagi menyokong pertumbuhan industri EV tempatan," menurut beliau.

Sehingga kini, lebih 600 buah kemudahan pengecas EV telah dipasang di seluruh negara.

Media Baharu