fb fb fb fb fb

Kerajaan setuju tingkat peruntukan inisiatif, latihan peningkatan kemahiran p-hailing

(Foto hiasan)

KUALA LUMPUR, 8 Ogos- Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk meningkatkan peruntukan bagi inisiatif dan latihan peningkatan kemahiran (upskilling) yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan berkata, keputusan ini dibuat setelah beliau mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan 24 syarikat pengendali perkhidmatan parcel hailing (p-hailing).

Menurut beliau, pertemuan ini susulan komitmen yang beliau berikan ketika perjumpaan bersama rakan penghantar pada 22 Julai lalu.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/BERNAMA)

"Menteri Pengangkutan, Menteri Komunikasi dan Digital, Menteri Sumber Manusia serta Pegawai Kanan Kementerian turut hadir dalam sesi ini.

"Semasa sesi ini, lima orang wakil daripada penghantar turut sama hadir bagi menyatakan pandangan dan mendengar maklum balas pihak syarikat.

"Perbincangan antaranya berkisar tentang pendapatan penghantar, jaringan keselamatan sosial serta keperluan latihan peningkatan kemahiran (upskilling)", katanya dalam kenyataan.

Perdana Menteri turut mendengar pandangan dan aduan daripada syarikat pengendali yang beroperasi di luar lembah klang yang tertumpu kepada perkhidmatan di luar bandar.

Kesemua syarikat pengendali telah memberikan komitmen untuk lebih telus dalam penentuan dan pengiraan upah serta meneliti dan memperhalusi lebih lanjut akan pandangan daripada pihak penghantar.

"Ikhtiar ini membuktikan kerajaan peka dan mengambil berat akan kepentingan semua pihak dalam meningkatkan penjanaan pendapatan rakyat dan memastikan kesinambungan perniagaan", katanya.

Media Baharu