fb fb fb fb fb

Prestasi KDNK bukti kerajaan berjaya pacu pemulihan ekonomi - PM

(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media selepas menghadiri Program Moh Ngeteh Santai
Orang Kita di Kampung Orang Asli Bongkok, Kemayan, di Bera, Pahang)

BERA, 11 November - Tuduhan mengatakan kerajaan gagal membawa perubahan kepada ekonomi negara adalah tidak tepat, malah kerajaan sentiasa memantau perkembangan ekonomi global bagi memastikan impak besar kelembapan ekonomi tidak memberi kesan kepada negara.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ini terbukti melalui pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga tahun ini yang meningkat sebanyak 14.2 peratus iaitu lebih pesat daripada suku kedua iaitu 8.9 peratus dan suku pertama sebanyak 5 peratus.

Prestasi itu jelas menunjukkan kejayaan kerajaan memacu pemulihan ekonomi pasca COVID-19, didorong pembukaan ekonomi selaras dengan peralihan ke fasa endemik di samping kejayaan memberangsangkan penggunaan sektor swasta dan pasaran buruh negara.


(Foto hiasan)

"Begitu juga dengan pengangguran pada Ogos, bulan lepas 3.7 peratus manakala bulan ini bulan September 2022, 3.6 peratus berbanding bulan Ogos 2021 4.6 peratus, jualan perdagangan borong dan runcit mencapai RM134 bilion untuk bulan September 2022 iaitu peningkatan 23.9 peratus berbanding September 2021 RM108.1 bilion," kata beliau pada sidang media selepas menghadiri Program Moh Ngeteh Santai Orang Kita di Kampung Orang Asli Bongkok, Kemayan, di sini hari ini.

Tambah Perdana Menteri, sektor perniagaan juga semakin kukuh melalui jualan sektor pembuatan pada September lalu sebanyak RM161.7 bilion iaitu peningkatan 19.5 peratus berbanding September 2021 terutamanya sektor elektrik dan elektronik sebanyak 24.7 peratus, produk petroleum, kimia, getah dan plastik sebanyak 27.2 peratus.

Media Baharu