KUALA LUMPUR, 9 Mei- Kerajaan sedang meneliti secara dasar mengenai sistem gaji progresif di Malaysia.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, proses perbincangan dan libat urus mengenainya telah pun bermula.
Jelas beliau, ia merupakan sebahagian daripada dasar yang sedang dikaji kementeriannya.
Ia selaras sasaran Rancangan Malaysia ke-12 supaya nisbah hasil ekonomi yang diberi kepada pekerja dalam bentuk gaji dan pampasan meningkat daripada paras semasa iaitu sekitar 36 peratus kepada 40 peratus.
“Kami akan bawa perbincangan ini ke forum kerajaan yang sewajarnya dalam masa yang ditetapkan nanti,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian UK-Malaysia Clean Growth Handbook di sini.
(Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi)
Tambah beliau, kerangka dasar itu perlu lebih mampan dan dapat dilaksanakan secara positif oleh semua pihak.
Selain itu, manfaatnya bukan hanya kepada pekerja tetapi juga kepada majikan.
“Perkara ini perlu difikirkan dan dibincangkan secara menyeluruh, bukan sahaja di peringkat dasar kerana kita perlu mengimbangi kehendak kerajaan dan ekonomi supaya gaji itu naik secara berkala dengan kemampuan syarikat supaya tidak memberi kesan negatif kepada mereka,” katanya.
Beliau menegaskan, dasar untuk gaji progresif adalah perkara yang sedang dipandang serius oleh kerajaan.
Ia akan dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sumber Manusia.