fb fb fb fb fb

Kerajaan sasar 40% lepasan SPM sertai TVET

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melakukan tinjauan Sambutan Hari TVET Negara 2024 di ILP Kuala Langat, Banting

KUALA LANGAT, 7 Jun- Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 diharap dapat memanfaatkan peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peluang juga terbuka kepada lebih 10,000 calon SPM yang tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

"Setakat ini hanya SPM saja terdapat potensi kira-kira 280,000 yang memohon dan kita harap pengambilan pertama bulan Julai ini akan dapat menyerapkan sekurang-kurangnya 40 peratus untuk memasuki TVET.

"Saya rasa kursus yang ditawarkan sesuai dengan permintaan pelaburan langsung asing (FDI) syarikat-syarikat luar negara dan domestik yang memberikan peluang pekerjaan dan pengambilan berdasarkan guna tenaga yang berkemahiran yang telah memasuki kursus TVET", katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan Sambutan Hari TVET Negara 2024 di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat, Banting.

Beliau turut menggalakkan pelajar cemerlang SPM untuk menyertai TVET.

Kira-kira 11,173 yang mendapat keputusan semua A boleh memilih TVET kerana peluang ada untuk mereka memasuki kolej dan universiti TVET.

Pelajar cemerlang SPM yang menyertai TVET boleh menjalankan kursus dalam tempoh yang lebih pendek berbanding biasa. Pada masa ini, terdapat lima buah universiti TVET di Malaysia. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan menghadiri Sambutan Hari TVET Negara 2024 esok.

Terdapat 48 pempamer menawarkan lebih 4,000 kursus pelbagai bidang. Manakala, lebih 5,000 peluang pekerjaan disediakan oleh lebih 1,000 institusi TVET swasta dan kerajaan.

ROSLINA BINTI DIN