fb fb fb fb fb

Kerajaan salur RM20.339 bilion melalui PSU - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 12 Februari - Kerajaan secara keseluruhannya telah menyalurkan RM20.339 bilion kepada 357,520 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU).

Ia bagi mengekalkan penggajian 2,953,741 pekerja tempatan dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata setakat 4 Februari lalu, sebanyak RM14.643 juta disalurkan kepada 1,482 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian 24,405 pekerja.

Katanya, dengan peruntukan sebanyak RM600 juta di bawah Bajet 2022, kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan meneruskan pelaksanaan PSU bersasar kepada pengusaha pelancongan yang mengalami penurunan pendapatan.

"Sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah jualan atau pendapatan pada Oktober 2021 hingga Disember 2021 berbanding mana-mana bulan pada 2019 hingga 2021 sebelum pandemik COVID-19.

"Permohonan dibuka sejak 1 Januari lalu hingga 31 Mac ini, namun majikan daripada sektor dan aktiviti industri yang tidak tersenarai tetapi masih terjejas akibat COVID-19 masih boleh mengemukakan rayuan secara dalam talian kepada PERKESO," katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-84 yang dikeluarkan, hari ini.

Bagi PSU 4.0, Tengku Zafrul berkata setakat 4 Februari 2022, sebanyak RM2.270 bilion telah disalurkan kepada 146,519 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian 1,755,737 pekerja.

"Kerajaan melaksanakan PSU 4.0 dengan peruntukan sebanyak RM3.8 bilion yang dijangka memanfaatkan 2.5 juta pekerja," katanya.

Media Baharu