KUALA LUMPUR, 13 Februari - Kerajaan komited mengenal pasti ikhtiar baharu bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif di peringkat global, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, antara ikhtiar yang menarik minat pelabur adalah penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) yang mendapat sambutan positif, bukan sahaja dari Singapura tetapi juga negara luar.
"Kita sentiasa memikirkan ikhtiar-ikhtiar baru. Umpamanya, salah satu usaha yang menarik minat pelabur ialah JSSEZ. Itu mendapat sambutan yang sangat baik," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Khamis.
Selain itu, kerajaan sedang merangka kerjasama ekonomi dengan Thailand untuk memastikan pembangunan lebih menyeluruh di Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu bersama empat wilayah selatan Thailand.
“Kita ada dua mesyuarat, dan 18 Februari ini saya ada satu pertemuan untuk merangka supaya pertumbuhan (di negeri dan wilayah) itu juga berlaku.
"Maknanya insentif-insentif itu tentunya berbeda daripada JSSEZ dengan utara semenanjung dan selatan Thailand supaya lebih merata,” katanya.
Sementara itu di Sarawak pula, kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan hab tenaga bagi rantau ASEAN.
Katanya, ini sejajar dengan kerangka ASEAN Energy Grid yang menghubungkan Malaysia dengan Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand, Singapura, Indonesia, dan Filipina.
"Dan dari Sarawak itu disambungkan ke Sabah, ke Kalimantan dan juga ke Filipina. Ini di antara langkah-langkah yang boleh menjana keyakinan.
"Selain itu, kerajaan turut memperkasakan Forest City sebagai pusat kewangan dengan insentif baharu, selain merancang penubuhan pusat skim pejabat keluarga tunggal di Kuala Lumpur yang akan memanfaatkan Financial Centre di Tun Razak Exchange (TRX)," katanya.
Anwar berkata demikian bagi soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai usaha dan insentif kerajaan dalam meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan berdaya saing.