KUALA LUMPUR, 13 Jun - Kerajaan memutuskan untuk memperuntukkan projek tertentu kepada Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM), berbanding menyalurkan dana tambahan secara langsung, sebagai langkah meningkatkan keuntungan kepada ahli koperasi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan prestasi pengurusan koperasi yang disifatkan sangat memberangsangkan dan berdisiplin.
"Insya-Allah, saya akan luluskan dua hingga tiga projek untuk dijalankan oleh koperasi. Saya ini memang nampak garang, tapi hati saya senang bila tengok orang kerja kuat, disiplin tinggi, prestasi memuaskan dan pandai berunding,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan KPDRM ke-90, di sini.
Tambah beliau, prestasi hujung tahun koperasi juga akan menjadi penanda aras bagi menimbang peruntukan tambahan, khususnya untuk projek-projek bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Kalau tiga tahun ini kita mula (laksanakan projek), dan saya lihat prestasi akhir tahun itu baik, maka kita akan tambah peruntukan tahun depan untuk projek KDN, terutama yang berkaitan dengan polis," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar menegaskan, beliau tidak bercadang untuk melupuskan sepenuhnya hutang atau tanggungan koperas.
Bagaimanapun akan mempertimbangkan pemotongan secara munasabah, berdasarkan prestasi semasa pasukan polis dan tadbir urus koperasi yang baik.
"Saya tidak fikir wajar kita lupus semua, tetapi saya fikir, berdasarkan prestasi polis dan pengurusan yang baik sekarang, kita akan berikan pemotongan yang munasabah," katanya.
Beliau turut memuji perkhidmatan cemerlang dan profesionalisme anggota PDRM, sambil menyeru rakyat agar memberikan penghargaan sewajarnya terhadap jasa pasukan keselamatan negara.