KUALA LUMPUR, 13 Jun - Kerjasama antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) terus diperkukuh menerusi siaran langsung edisi khas program Selamat Pagi Malaysia (SPM) dan Apa Khabar Malaysia (AKM) bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.
Siaran berdurasi dua jam yang bermula seawal pukul 8 pagi dari Pusat Dagangan Dunia (WTC) itu memberi tumpuan kepada topik “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan Kecerdasan Buatan (AI) dan Etika.”
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, berkata kolaboratif strategik itu mampu melahirkan kandungan berkualiti tinggi yang memberi impak kepada pembangunan negara.
“Ini kali kedua kita bekerjasama. Saya berpandangan ia sesuatu yang baik kerana apabila ada dua pemikir (RTM dan BERNAMA), kita bukan sahaja sebagai wartawan tetapi juga pemikir untuk bersama membawa negara ke tahap lebih tinggi.
“Lebih ramai lebih daripada dua pun tidak mengapa. Jika ada badan penyiaran nak turut terlibat, kami alu-alukan sahaja. Saya melihat kerjasama seumpama kni dapatkan hasilkan banyak idea dan produk,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri edisi khas siaran langsung SPM x AKM di perkarangan Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaluddin berkata, kerjasama kali ini adalah kesinambungan kepada kejayaan program bersama di Kuching pada tahun lalu.
“Kerjasama di Kuching pada tahun lepas, kita anggap sebagai percubaan. Bila kita melihat kandungan menjadi lebih menarik dengan cara RTM dan BERNAMA digabungkan. Jadi SPM x AKM kita teruskan tahun ini juga.
“Saya juga gembira sebab ini peluang RTM dan BERNAMA berkerjasama dari aspek teknikal, penyediaan kandungan dan aspek lain,” ujar beliau.
Sempena edisi khas SPM x AKM turut menyaksikan gabungan pengacara dari RTM dan BERNAMA iaitu Munawar Azmi dan Hana Nazir.
Seramai 50 kru produksi daripada RTM dan BERNAMA terlibat secara langsung dalam menjayakan siaran istimewa itu, menjadikannya antara kerjasama penyiaran terbesar sempena sambutan HAWANA tahun ini.