KUALA LUMPUR, 20 Ogos - Cadangan menggubal Akta Antibuli menggunakan sistem tribunal bagi kes buli membabitkan pelajar dan kanak-kanak akan diperhalusi dalam masa terdekat.
Ini termasuk mengambil kira pandangan setiap kementerian sebelum perkara itu dibawa ke dalam mesyuarat Kabinet, minggu depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri akan melaksanakan kajian dan sesi libat urus sebelum ia diputuskan ke peringkat dasar dan dibawa ke Parlimen.
"Saya tidak boleh komen lagi kerana ia perlu dibawa ke Kabinet di peringkat dasar kerana Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Perpaduan dan lain-lain kementerian mungkin mempunyai pandangan mereka. Di pihak kami tiada masalah.
“Walaupun kita kerajaan campuran, bila bertanggungjawab untuk negara, kita kena bincang. Lepas bincang, kita akan buat kajian, kemudian libat urus, bawa balik untuk keputusan dasar dan selepas itu dibawa ke Parlimen,” katanya ketika ditemui media pada Forum Undang-Undang ASEAN 2025.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya berkata, cadangan untuk menggubal undang-undang akta berkenaan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.
Ketika ini tiada undang-undang khas diperuntukkan bagi kesalahan buli, sebaliknya mengguna pakai Kanun Keseksaan dan undang-undang lain.