IPOH, 18 Mei - Kerajaan Persekutuan akan terus memastikan subsidi secara adil diberikan kepada golongan sasar termasuk B40, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya golongan tersebut perlu sentiasa dibantu untuk meringankan beban mereka.
"Minyak misalnya, orang miskin naik motor kita subsidi, orang kaya naik Mercedes pun kita bagi subsidi, kita cari kaedah, yang miskin kita jangan kacau, yang kaya pendapatan RM50,000 sebulan, RM100,000 sebulan, bayar lah, jadi itu tetap jadi dasar kita," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau Parlimen Tambun di Institut Tadbiran Islam (INTIM) Perak di sini hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri kekal dengan pendirian buat pengguna domestik yang menggunakan elektrik berlebihan akan dikenakan caj tarif elektrik semasan dan tidak diberikan subsidi.
Katanya, ia tidak akan menjejaskan 80 peratus pengguna sebaliknya ingin mengurangkan beban pengguna domestik terutama golongan B40 dan M40.
"Jadi kita ambil keputusan jangan ganggu B40, M40, 80 peratus tidak dibebankan, yang kita kenakan hanya T20, itu pun untuk bayar kos sahaja, bukan kerajaan ambil untung," kata Anwar.