KUALA LUMPUR, 3 Februari- Kerajaan akan terus merangka strategi lebih berkesan bagi menangani isu penipuan dalam talian atau 'scam' demi melindungi rakyat pada masa hadapan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan pihaknya akan bersikap lebih proaktif dalam menyampaikan maklumat sahih dan tidak mengelirukan rakyat.
"Di pihak kerajaan khususnya agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta beberapa agensi lain, dengan pindaan yang diluluskan pada sidang Parlimen sebelum ini, kita mempunyai beberapa kuasa dan undang-undang baharu yang boleh dilaksanakan untuk menangani jenayah scam," katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam titah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 pagi tadi mengingatkan rakyat agar sentiasa berwaspada dan tidak menjadi mangsa jenayah siber.
Pada masa sama, titah Sultan Ibrahim turut menekankan kepentingan kestabilan politik untuk memastikan pembangunan negara dapat dicapai serta mengembalikan keyakinan pelabur asing.
Fahmi berkata titah tersebut bukan sahaja perlu dihayati oleh ahli dewan rakyat daripada pihak kerajaan dan pembangkang, malah oleh seluruh rakyat.
"Saya percaya titah Tuanku khususnya berkaitan kepengerusian ASEAN adalah perkara penting yang perlu difahami semua pihak. Ini termasuk persiapan menjelang Tahun Melawat Malaysia tahun depan," katanya.
BERITA BERKAITAN