KUALA LUMPUR, 3 Februari- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah Malaysia perlu menunjukkan keupayaan sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dengan memimpin dan menentukan hala tuju rantau ini.
Baginda bertitah Malaysia mesti kekal tegas dalam mendukung prinsip keamanan, menentang keganasan dan penindasan termasuk dalam isu peperangan di Gaza yang perlu segera ditamatkan serta memastikan keadilan undang-undang dilaksanakan.
"Kerajaan juga perlu bijak dalam mengekalkan hubungan diplomatik dengan semua pihak dan meningkatkan kerjasama strategik dalam menangani isu-isu serantau serta sempadan negara," titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 hari ini.
Baginda turut menekankan keperluan tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan bagi memastikan hak kedaulatan serta kepentingan negara terus terpelihara.
"Walaupun hanya seketul batu karang di tengah lautan, kedaulatan negara tetap perlu dipertahankan," titah baginda.
Dalam perkembangan lain, Sultan Ibrahim menyentuh mengenai kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 yang bakal menampilkan keunikan budaya serta nilai murni masyarakat Malaysia.
Baginda menegaskan kepentingan memastikan negara bersih dan selamat bagi menjayakan kempen itu serta menarik lebih ramai pelancong.
"Tidak ada pelancong yang hendak datang kalau negara kita kotor dan kadar jenayah tinggi," titah baginda.
Ini merupakan istiadat pembukaan Parlimen kedua oleh Sultan Ibrahim selepas mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari 2024.
BERITA BERKAITAN