fb fb fb fb fb

Ekonomi negara semakin stabil, Agong puji usaha kerajaan

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja pada istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, hari ini/Bernama

KUALA LUMPUR, 3 Februari- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan kesyukuran terhadap perkembangan ekonomi negara yang semakin kukuh termasuk prestasi ekonomi domestik dan peningkatan pelaburan.

Baginda bertitah nilai ringgit kembali stabil dan kadar pengangguran kekal rendah, menunjukkan keyakinan terhadap dasar ekonomi yang dilaksanakan kerajaan.

"Pada tahun lalu, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencapai 5.9 peratus dalam pelbagai sektor, manakala jumlah perdagangan negara telah melepasi angka RM2 trilion dalam tempoh sembilan bulan pertama," titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 hari ini.

Baginda turut merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan atas pencapaian ekonomi yang membanggakan serta berharap momentum pertumbuhan itu dapat terus dipertingkatkan.

Namun, baginda mengingatkan agar prestasi ekonomi yang baik tersebut turut membawa manfaat kepada seluruh rakyat, bukan hanya kepada kumpulan tertentu sahaja.

"Oleh itu, beta menyambut baik pendekatan subsidi bersasar yang telah membantu mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan. Namun, beta menggesa agar pelaksanaannya dilakukan dengan cekap dan berkesan supaya manfaatnya sampai kepada golongan yang benar-benar layak," titah baginda.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA