fb fb fb fb fb

Kerajaan pastikan segenap lapisan masyarakat nikmati hasil ekonomi negara

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 3 Februari- Kerajaan akan memastikan agihan hasil ekonomi dapat digunakan untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat demikian dinyatakan Perdana Menteri datuk Seri Anwar Ibrahim. 

"Patik dan seluruh jentera Kerajaan MADANI akan memastikan kek ekonomi ini digunakan untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat termasuk pekebun kecil, petani, nelayan dan pemain industri pertanian serta rantaian bekalan makanan negara," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Hantaran berkenaan sebagai menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara di ibu negara hari ini.

Pada istiadat itu, Sultan Ibrahim menitahkan agar kerajaan terus membantu pekebun kecil, petani, penternak dan nelayan selain proaktif memperkasa sektor pertanian, komoditi dan rangkaian bekalan makanan.

Selain itu baginda juga bertitah berkenaan kepentingan mengguna pakai teknologi tinggi dan terkini dari aspek digitalisasi dan keselamatan siber.

"Justeru patik percaya, ini akan membawa kepada revolusi sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan yang lebih baik apabila selesai dinaik taraf sepenuhnya.

"Titah Tuanku jelas menzahirkan keprihatinan terhadap usaha memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar dan terus membawa masuk pelbagai peluang pelaburan agar kemajuan ekonomi negara dapat dinikmati dan dimanfaatkan rakyat jelata," menurut hantaran itu.

Menerusi hantaran itu Anwar turut memanjatkan doa dan berharap agar Malaysia kekal aman makmur serta berdaya saing berpanjangan di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim.

Anwar juga menjunjung kasih atas kesudian Yang di-Pertuan Agong mencemar duli menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI