KUALA LUMPUR, 3 Fabruari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua gabungan dewan perniagaan bekerja sebagai satu pasukan.
Perkara itu bagi memacu kemajuan dan ekonomi negara.
"Keperluan gabungan dewan-dewan perniagaan Malaysia termasuk Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak.
"Ia bagi mendapatkan pandangan mereka sebagai satu pasukan. Kita bekerja untuk mencari jalan untuk meningkatkan ekonomi negara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM) di ibu negara.
Dalam pada itu beliau berpendapat pandangan semua sektor menjadi landasan penting untuk memacu pertumbuhan negara.
Justeru, kerajaan memberi jaminan akan sentiasa mengambil serius cadangan yang diberikan ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara penting di rantau ini.
Perkara itu dilihat sebagai langkah untuk mempertingkat pelaburan dalam pelbagai bidang termasuk tenaga dan digital.
"Malaysia perlu bersedia berbincang dan pemimpin kabinet, umpamanya mesti ambil sifat terbuka dan keluar dari pemikiran kepompong lama.
"Dengan tindakan ini ia boleh menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan tidak ketinggalan. Kita mesti mencari jalan ke arah perkara itu," katanya lagi.
Pada masa sama beliau turut menyeru pemain industri mengambil kira pandangan ahli akademik khususnya sektor berkaitan bidang baharu yang akan menyumbang kepada kemajuan negara.