SEREMBAN, 26 Jun- Kerajaan Negeri Sembilan terus komited dan konsisten dalam menyokong usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, ketika menyampaikan teks ucapan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata antara komitmen berterusan yang dilaksanakan ialah kerjasama strategik dalam usaha menyelaras dan menguatkuasakan penggunaan Bahasa Melayu yang betul pada papan tanda di seluruh negeri.
"Langkah membanteras penggunaan papan tanda haram yang tidak mematuhi piawaian bahasa ini bukan sekadar isu teknikal tetapi mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam menjunjung martabat bahasa kebangsaan di ruang awam.
"Ini selari dengan hasrat negara untuk memastikan Bahasa Melayu digunakan secara meluas, tepat dan bermaruah dalam semua domain kehidupan selaras dengan semangat Perlembagaan dan Dasar Bahasa Kebangsaan," katanya.
Teks Ucapan itu dibacakan pada Majlis Perasmian Pesta Buku dan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan di sini.