SEREMBAN, 7 Disember- Kerajaan Negeri Sembilan berhasrat untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas tamat penggal tahun hadapan bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan secara serentak bersama lima negeri yang lain.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu merupakan hasil perbincangan secara tidak rasmi bersama lima pemimpin negeri lain dan akan disampaikan kepada pucuk pimpinan parti bagi mendapatkan persetujuan.
Pemimpin lima negeri itu membabitkan Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Cadangan bagi membolehkan PRN dijalankan secara serentak di kesemua negeri tersebut adalah bertujuan mengurangkan kos serta memudahkan urusan pengundi dan proses pengundian.
"Itu antara yang kita bincangkan ketika pertemuan tidak rasmi pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu di Kuala Lumpur. Alhamdulillah mereka semua nampak bersetuju untuk melakukan pembubaran DUN secara bersama.
"Bagaimanapun ia melibatkan peringkat Menteri Besar dan Ketua Menteri. Kita ada Presiden, Timbalan Presiden dan Majlis Presiden serta rakan lain juga ada pemimpin utama yang perlu dirujuk.," katanya dalam sidang media mesyuarat Exco di Seremban.
Jelasnya, tumpuan akan diberi kepada sektor pembangunan negara dan negeri sejurus PRN selesai.
(Aminuddin Harun)