JELEBU, 10 November- Kerajaan Negeri Sembilan akan memastikan bekalan makanan serta barangan keperluan asas mencukupi sebagai persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh.
Musim tengkujuh dijangka berlarutan sehingga Mac depan.
Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata bekalan makanan seperti beras, minyak masak, tepung dan sebagainya dijangka mencukupi bagi menampung keperluan penduduk pada musim tengkujuh.
"Walaupun akan berlaku sedikit kekurangan tetapi kerajaan negeri akan berusaha memastikan bekalan itu mencukupi untuk penduduk dan masyarakat di Negeri Sembilan," katanya kepada pemberita di sini.