fb fb fb fb fb

Kerajaan negeri harap projek kerajaan Persekutuan diteruskan Kelantan

Foto Hiasan

KOTA BHARU, 24 November- Kerajaan negeri Kelantan berharap projek-projek kerajaan Persekutuan berjumlah RM3.3 bilion diteruskan dan dikekalkan kesinambungannya selepas kerajaan baharu dibentuk.

TImbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata ia demi manfaat seluruh rakyat Kelantan.

“Memang itulah hasrat kita. Tidak kira siapa jadi kerajaan, kita harap untuk kebaikan seluruh rakyat Kelantan. Jangan guna sentimen politik sebab yang untung adalah rakyat, kerajaan hanya menjadi perantara kepada projek-projek ini.

Projek ini dilaksana adalah untuk rakyat," kata Mohd Amar kepada pemberita selepas Ucapan Belanjawan Kelantan pada Persidangan Kali Ketiga Penggal Ke-5 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-14 tahun 2022, di sini, yang dibentang Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Datuk Ahmad menerusi ucapannya berharap pembentukan kerajaan baharu nanti akan menatijahkan hubungan yang kekal baik berprinsipkan semangat federalisma yang tinggi di antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri Kelantan.


(Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob/Fail)

Antaranya dengan meneruskan Projek Central Spine Road di jajaran Paloh 2 ke Gua Musang dan membina pakej lebuh raya dari Kok Lanas ke Bukit Tiu, Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai (KBKK).

Apa yang lebih penting katanya, projek-projek keutamaan negeri khususnya yang tersenarai untuk dilaksanakan dalam RMK-12 dapat dijayakan dengan sebaiknya.

Ini termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok (KESBAN), pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Jambatan Palekbang yang menghubungkan Tumpat-Kota Bharu serta menambah baik perkhidmatan Bekalan Air serta projek JENDELA.

Dalam perkembangan lain, Datuk Mohd Amar berkata kerajaan negeri juga akan mengadakan jamuan rakyat di Parlimen Tumpat dengan menumbangkan 20 ekor lembu awal bulan depan.

Ia berikutan kemenangan PAS bagi parlimen berkenaan pada pilihanraya ke-15 (PRU Ke-15) dengan majority besar berbanding PRU Ke-14 lalu apabila Datuk Mumtaz Md Nawi memperoleh majoriti 34,793 undi menewaskan empat pencabarnya iaitu daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan Warisan.

Media Baharu