fb fb fb fb fb

Jangan ada sebarang perhimpunan, kata Rafizi selepas Anwar diumum PM

(Rafizi Ramli)

KUALA LUMPUR, 24 November- Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menasihatkan agar tidak ada sebarang perhimpunan diadakan, selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim diumum sebagai Perdana Menteri Ke-10.

“Saya menyeru supaya semua rakyat Malaysia, terutamanya penyokong dan anggota PKR, PH dan rakan-rakan politik menghormati keperluan mendesak untuk meredakan keadaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya.

Beliau turut menasihatkan penyokong supaya berhati-hati dengan kenyataan media yang dikeluarkan oleh pemimpin politik lain.

“Berhati-hati dengan sebarang kandungan atau mesej di media sosial yang boleh menimbulkan kebimbangan atau dijadikan alasan untuk provokasi.

“Kita semua mesti bergerak ke hadapan dan belajar bekerjasama untuk membina semula Malaysia demi masa depan dan kemakmuran setiap rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Istana Negara mengesahkan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Beliau dijadualkan mengangkat sumpah pada pukul 5.00 petang hari ini.

(Rafizi Ramli/Anwar Ibrahim)

Media Baharu